DIA cuma guru biasa yang tidak mengharapkan cinta jauh
sekali mahu mendirikan rumahtangga pada usia muda. Namun kisah cinta dan
pengorbanannya terhadap arwah isteri cukup luar biasa. Demi cinta dan kasihkan
isteri, segala yang termampu sudah ditunaikan. Takdir Allah menjemput isteri ke
negeri abadi pada ulang tahun pertama perkahwinan mereka tular di laman sosial.
Betapa Allah mahu menguji dan mungkin mahu mengangkat
martabat pasangan ini ke satu tingkat lebih tinggi, siapa tahu bukan? Tidak
pernah menyesal bagi Kamal, 365 hari yang dilalui bersama arwah isteri
memahatkan memori terindah. InTrend selami emosi dan semarak cinta yang kekal
utuh menjadi pegangan Kamal Effendi.
Maaf seandainya menjentik emosi Kamal mengimbas kembali
mengenai arwah isteri. Boleh kongsikan detik perkenalan Kamal dengan arwah
Idzni?
Tak mengapa, insya-Allah boleh. Kami sebenarnya
berkenalan melalui laman sosial (Instagram sekitar Februari 2015). Arwah isteri
menghantar mesej panjang lebar lantas menghuraikan segala jangkaan yang
diingininya dalam menjalin persahabatan tersebut
READ
Dalam masa sama, arwah isteri maklum mengenai beberapa
kenalan perempuan saya pernah meluahkan hasrat hati sama untuk berkenalan
dengan saya. Kebetulan antara kami, ramai mutual friends misalnya rakan sekolej
saya juga berkawan dengannya.
Sejujurnya saya tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin
pada usia muda. Saya sasarkan mahu menamatkan zaman bujang ketika berumur 30
tahun. Perihal itu juga saya huraikan kepadanya agar dia memahami dengan jelas.
Tetapi rahsia di sebalik semua ini, pada saya jika bukan kerana arwah isteri,
mungkin saya tidak akan berkahwin dengan sesiapa pun.
Dan entah mengapa selepas membaca segala luahan isi
hatinya, saya terdetik hati untuk 'screen capture' mesej tersebut dan kongsikan
dengan keluarga. Kata keluarga, mengapa tidak kami keluar dan berjumpa. Lantas
kami berfikir, okey jumpa sahaja. Dan jika selepas pertemuan tersebut tiada
‘spark’ atau mungkin tiada keserasian, tidak mengapa. Kami tidak akan rugi
apa-apa.
Persepsi Kamal mengenai hubungan yang bakal terjalin?
Agak lucu kerana cara pendekatan perhubungan kami umpama
menguruskan sebuah perniagaan (ketawa) kerana kami look forward what’s next and
so on. Misalnya, “Suka tak? Okey, sekarang sudah suka sama suka dan kemudian ke
peringkat seterusnya."
Malah sehingga kami memilih untuk berkahwin, perasaan
berdebar itu ada kerana masing-masing takut jika antara kami tiada keserasian
dan pelbagai emosi bersarang dalam hati.
Kami memulakan perhubungan ini dengan berlapang dada dan
menerima sebarang kebarangkalian yang akan berlaku. Tetapi alhamdulillah,
semuanya berjalan dengan baik. Mungkin itulah kuasa jodoh yang Allah sudah
tetapkan dan tentukan untuk kami.
Antara ciri istimewa arwah isteri yang membuatkan Kamal
berkata, “Ya, dialah pilihan hati saya...”
Arwah isteri seorang yang berani. Sejak awal perkenalan
lagi, dia sudah berani meluahkan hasrat hati. Pada saya sebenarnya dia memiliki
kualiti dan ciri istimewa yang tiada pada gadis lain.
Lebih menarik, dia tidak menggunakan khidmat atau bantuan
rakan (orang tengah) misalnya. Apa jua yang diluahkan adalah lahir dari lubuk
sanubarinya. Itu jauh lebih mudah dan secara tidak langsung mematangkan
perhubungan kami. Kerana saya lebih suka pendekatan secara berterus-terang.
Bagaimana arwah isteri memberitahu Kamal mengenai
penyakitnya?
Sebelum arwah isteri muncul dalam sebuah rancangan
televisyen (sekitar 2015 dia menuntut di tahun akhir jurusan Perubatan di
London), dia menghantar mesej. Katanya ada sesuatu yang ingin diberitahu. Dan
sangkaan saya pada mulanya, mungkin dia mahu menukar tarikh pertemuan kami.
Tetapi tidak. Katanya lagi, biarlah saya tahu mengenai perkara tersebut dari
mulutnya sendiri. Rasa bimbang dan cuak mula bermain-main dalam ruang legar
fikiran saya ketika itu.
Katanya lagi, dia sebenarnya sakit. Terkejut saya
mendengarnya kerana memandangkan kami tinggal berjauhan, hanya foto di
Instagram sahaja yang dapat saya lihat. Dan melihat kepada setiap foto yang
dimuatnaik, pada saya dia nampak sihat dan lagaknya tidak seperti orang yang
menghidap penyakit. Lalu saya bertanya sakit apa?
Jawabnya, kanser. Secara spontan saya bertanya lagi,
“Stage berapa?” Jawabnya lagi, “Stage four.” Usai mendengar penjelasannya
lantas membuatkan saya mahu mengetahui lebih dalam lagi perihal dirinya, mahu
lebih banyak bertanya dan secara tidak langsung membuatkan saya mengagumi
semangat dan ciri istimewa seorang gadis yang ada padanya.
Dan detik pertemuan pertama itu...
Dua minggu selepas kemunculannya dalam rancangan tersebut
(akhir Mac 2015), arwah isteri pulang ke Kuala Lumpur untuk bercuti selama dua
minggu kerana kakaknya berkahwin. Kali pertama berjumpa memang saya banyak
bertanyakan soalan mengenai keadaan kesihatannya, bagaimana dia survive seorang
diri di London, apakah rawatan yang telah dilalui dan banyak lagi.
Dan pada kali pertama pertemuan, kami turut membicarakan
mengenai perihal latar belakang keluarga masing- masing, asal-usul juga
berkisarkan kepada topik perkahwinan. Tetapi kami tidak memutuskan untuk
berkahwin. Menariknya, biarpun arwah isteri sakit tetapi dia masih punya
semangat dan keberanian mahu mencari cinta.
Sebelum ini kata arwah dia pernah merasakan seolah- olah
mementingkan diri sendiri jika mahu mencari cinta kerana maklum mengenai apa
kesudahan yang bakal dilalui. Tetapi baginya ia umpama sudah mengalah di
langkah permulaan jika dia berpegang kepada pendirian itu. Kerana cinta itu
rezeki dan rahmat Allah katanya. Lalu mengapa mahu berputus asa kerana
sesungguhnya jodoh itu di tangan Allah.
Pertemuan selanjutnya yang membuahkan bibit ke arah
perkahwinan?
Selepas itu kami memikirkan apakah kemungkinan yang akan
berlaku seterusnya. Bagi kami, jika ada jodoh adalah, jika tidak masing-masing
akan membawa haluan sendiri. Lalu saya mengambil inisiatif mengajaknya keluar
untuk kali kedua pada hari lahirnya (11 April 2015) beberapa minggu sebelum dia
pulang ke London. Saya mula merasakan ada sesuatu yang serius antara kami
tetapi saya tidak memaklumkan kepada keluarga.
Bagi keluarga arwah isteri pula, segalanya dipermudahkan.
Mungkin ya, benarlah kuasa jodoh. Jika kita mempunyai niat mahu mendirikan
masjid, Allah akan permudahkan. Begitu juga dengan perjalanan perhubungan kami.
Selepas seminggu dia pulang ke London, kami berhubung
lagi dan memutuskan untuk berkahwin melalui kiriman mesej. Tetapi dalam masa
sama saya meminta tempoh berfikir untuk bertanyakan kepada ibu dan keluarga.
Dan syukur ibu merestui malah berkata, “Gembirakan dia.”
Pengalaman berkahwin, bagaimana rasanya?
Biarpun usia perkahwinan kami singkat, cuma setahun
sahaja tetapi pada saya perkahwinan adalah sesuatu yang sangat indah. Saya
bahagia. Hanya selepas tiga kali berjumpa kemudian kami memutuskan untuk
berkahwin.
Walaupun pada mulanya kami umpama dua individu berbeza
yang agak gusar melangkah ke fasa perkahwinan, tidak tahu apa yang menanti di
hadapan tetapi persamaan kami adalah sifat terbuka untuk melalui detik
seterusnya.
Selepas hari pertama berkahwin, arwah isteri bertanya
kepada saya apa yang membuatkan saya memilihnya sebagai suri hati dan jawab
saya, “Saya mahu menggembirakan, berbakti dan menyayangi dirinya
selayaknya."
Pegangan saya mengenai perkahwinan, ia adalah perjanjian
dan komitmen seumur hidup. Berkahwin juga peluang untuk kita menggandakan
pahala. Tidak sukar untuk menabur budi
dan berbuat baik kepada seorang isteri yang juga bakal ibu anak-anak kita.
Hubungan kami umpama bercinta selepas berkahwin dan ia
cukup memaknakan hari-hari yang dilalui bersama. Dan selepas semua yang
terjadi, walaupun isteri sakit tetapi saya tidak pernah merasa penat,
alhamdulillah. Mungkin juga kerana sikap kami yang sering berterus terang,
berkongsi segalanya dan jujur selain kesediaan untuk berbuat baik kepada isteri
semuanya dipermudahkan Allah.
Bagaimana kalian melalui detik berjauhan selepas
berkahwin?
Kami berkahwin pada tanggal 27 Disember 2015 dan
kira-kira sebulan selepas itu, arwah isteri pulang ke London semula untuk
menyambung pengajian (menduduki peperiksaan akhir). Sepanjang tinggal
berjauhan, kami banyak berhubung menerusi WhatsApp dan kadang-kadang e-mel.
Walaupun tinggal berjauhan tetapi ia tidak menjarakkan perhubungan kami.
Arwah isteri pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian
sekitar Mac 2016 dan dia bercuti hingga Julai 2016. Alhamdulillah, kami sempat
menjalani kehidupan sebagai suami isteri sepanjang tempoh itu.
Syukur kerana sempat merasai nikmat dan hidup
berumahtangga dalam bulan Ramadan dan dapat merasa air tangan arwah isteri
memasak untuk saya. Selepas itu saya menghantarnyapulang ke London kerana dia
menerima tawaran bertugas sebagai doktor.
Saya tinggal di sana selama tiga minggu dan sepanjang
tahun 2016 saya berpeluang melawat isteri tiga kali di sana. Dan memandangkan
kita bakal memasuki bulan Ramadan tidak lama lagi, sebenarnya terlalu banyak
kenangan dan nilai sentimental yang menjentik emosi saya. Kerana sekitar bulan
Ramadan, keadaan kesihatan arwah mula menunjukkan perubahan sedikit demi
sedikit.
Jika tidak keberatan, boleh kongsikan mengenai keadaan
dan penyakit arwah selepas itu?
Arwah isteri pulang ke Malaysia sekitar Oktober 2016
kerana keadaan kesihatannya semakin merosot. Sehinggakan dia tidak berupaya
untuk bekerja. Malah sejak baru berkahwin, dia sudah mula menampakkan
tanda-tanda.
Misalnya tidak lagi aktif seperti dahulu, kadang-kadang
berasa sakit di bahagian belakang, lenguh-lenguh sendi. Dan selepas itu
sakitnya semakin kerap. Arwah menghidap penyakit kanser renal cell carcinoma
(RCC) tahap empat dan ia adalah sejenis kanser buah pinggang yang jarang
ditemui.
Tiada ubat yang mampu mengubati penyakit ini. Dan salah
satu faktor mengapa dia kembali menyambung pengajian dan bekerja di sana adalah
untuk menjalani prosedur rawatan. Sebagai pelajar perubatan dan doktor, arwah
isteri mempunyai kelebihan dan tiada kos yang perlu dibayar, semua rawatan dan
ubat-ubatan percuma di sana.
Secara tidak langsung arwah isteri mendapat rawatan
daripada kumpulan pakar terbaik di sana. Tiada ubat untuk mengubati penyakit
RCC di Malaysia. Menurut rakan arwah isteri yang juga seorang doktor, ubat
penyakit ini baru dibawa masuk tahun lalu jika mempunyai permintaan dan terlalu
mahal kosnya yang menelan belanja sehingga setengah juta untuk penggunaan enam
bulan sahaja.
Menurut ramalan doktor di sana, ubat yang diambil arwah
isteri hanya memanjangkan jangka hayat selama setahun tetapi alhamdulillah
arwah isteri mampu bertahan hingga empat ke lima tahun.
Pada mulanya arwah isteri didiagnosis menghidap penyakit
RCC sekitar tahun 2011 ke 2012 ketika masuk tahun kedua belajar. Sebagai pelajar
perubatan, mereka perlu menjalani pemeriksaan lengkap untuk mengetahui tahap
kesihatan.
Dijadikan cerita, bahagian pinggang arwah isteri
mempunyai satu tekstur yang keras dan tidak lembut seperti biasa. Dan selepas
pemeriksaan lanjut dijalankan, doktor mendapati ia adalah sejenis kanser.
Arwah isteri terpaksa menjalani pembedahan membuang
sebahagian buah pinggang selepas itu dan cuti sakit selama setahun. Ketika itu
penyakitnya didiagnosis pada tahap tiga. Namun dek kerana lewat menjalani
rawatan dan pemeriksaan susulan, ia sudah merebak pada bahagian paru-paru dan
tulang. Kemudian, arwah isteri masih mahu meneruskan pengajian.
Pada mulanya doktor gusar adakah dia mampu melakukannya.
Doktor juga pernah berkata, kebarangkalian untuk arwah isteri hidup mungkin
tidak sampai dalam tempoh setahun memandangkan keadaan kesihatannya yang
semakin merosot.
Tetapi arwah isteri tetap dengan pendiriannya mahu
menamatkan pengajian. Berbekalkan semangat, iltizam yang tinggi dan iringan doa
serta sokongan keluarga alhamdulillah Allah makbulkan impiannya.
Bagi arwah isteri, mengapa mahu menunggu ajal menjemput
kerana maut berada di mana-mana dan boleh berlaku kepada sesiapa. Rentetan
itulah dimensi pemikiran saya mengenai percaturan, jodoh dan sebagainya tidak
memberi tekanan. Mungkin kerana pengalaman melihat dan berada dalam saat
genting seperti apa yang berlaku kepada arwah isteri membuatkan saya lebih
positif, tenang dan menerima ketentuan-Nya.
Lantas, bagaimana kalian kekal positif melalui momen itu?
Alhamdulillah, saya banyak belajar daripada arwah isteri
dalam soal ini. Kata orang suami perlu kuat kerana jika tidak bagaimana isteri
mampu meminjam kekuatan itu. Tetapi kekuatan itu bukan menjadi paksaan bagi
saya. Kerana isteri selalu berkata jika mempunyai apa jua perasaan sekalipun
sebenarnya kita tidak dapat lari daripadanya. Misalnya jika sedih, kita perlu
menerima kesedihan itu.
Jika mahu menangis untuk meredakan perasaan sedih,
menangislah. Saya akui merasa takut untuk menempuhi semua itu tetapi arwah
isteri memainkan peranan. Dia menyokong dan mententeramkan emosi saya dan
secara tidak langsung itu yang menjadi sumber kekuatan.Kami saling memberi
kekuatan semangat. Melihat ke lubuk sanubari arwah isteri, masya-Allah. Dia
seorang wanita cekal yang mempunyai semangat tinggi dan positif.
Itulah kekuatan dirinya yang saya pinjam dan sematkan
dalam diri hingga hari ini. Selain itu rahsia kekuatan saya berpunca daripada
amalan isteri. Jika solat Subuh, lazimnya dia akan bangun lebih awal.
Dia akan mulakan dengan melakukan solat taubat dan solat
tahajud. Rutin ini tidak pernah ditinggalkannya sepanjang tempoh dia sakit.
Sejujurnya saya tidak pernah melakukannya sebelum berkahwin. Dan arwah isteri
telah mengubah saya pada awal perkahwinan kami hingga hari ini.
Dia telah mendidik saya dengan rutin ini yang secara
tidak langsung memberi kekuatan kepada kami sepanjang tempoh itu. Dan tanpa
disedari juga arwah isteri seolah-olah mahu mempersiapkan saya agar lebih
tenang jika dia tiada suatu hari nanti.
Kongsikan antara detik sukar yang Kamal lalui?
Berada di sisinya, saya melihat dan merasai semua
perasaan juga masa-masa sukar.Misalnya arwah isteri perlu bangun tidur seawal
tiga pagi untuk memakan ubat. Ia sejenis pil seperti pil kemoterapi dan
mempunyai kesan sampingannya. Sebelum dia mengambil ubat tersebut, dia perlu
pastikan perutnya kosong tiga jam. Dan selepas makan ubat juga dia perlu
memastikan perutnya kosong juga
Jika tersalah makan akan mengakibatkan cirit-birit dan
muntah. Rambutnya juga bertukar ke warna perak. Dan saya sudah bersedia dengan
segala perubahan itu kerana arwah isteri telah memberitahu lebih awal sebelum
berkahwin.
Daripada perspektif lain juga, detik sukar ini turut
mencakupi aspek keyakinan diri. Tentang bagaimana keyakinan seorang isteri
perlu berhadapan dengan seorang lelaki yang baru dikenali dan dikahwini.
Dan saya maklumkan kepadanya bahawa setiap perubahan yang
dilalui akibat kesan penyakit ini misalnya rambut bertukar ke warna perak itu
semua tidak mendatangkan masalah kepada saya. Ia terlalu kecil dibandingkan
dengan kesakitan yang terpaksa ditanggungnya.
Pengalaman detik sukar lain termasuk apabila arwah isteri
masih di sana dan tidak berupaya untuk bekerja kerana terlalu sakit. Dia tidak
boleh berdiri terlalu lama. Dalam masa sama, dia sudah mula mengambil morfin
sebagai ubat tahan sakit.Kemudian bermulalah episod-episod duka apabila dia
menelefon saya dan menangis. Perasaan saya pula ketika itu sukar ditafsirkan.
Katanya disebabkan terlalu sakit dan ubat juga tidak
mampu menghilangkan kesakitan yang dirasai, tetapi jika dengan berkongsi dan
meluahkan perasaan sedih dan sakit dengan suami secara perlahan-lahan kesakitan
itu akan beransur kurang. Dan setiap kali dia menelefon, kami akan menangis.
Hinggalah kesihatannya semakin merosot, saya terbang ke London sekitar Oktober
2016 dan membawanya balik ke sini.
Masih segar dalam ingatan apabila saya menolaknya dengan
kerusi roda, membawanya berjumpa doktor untuk sesi temu janji dan pemeriksaan.
Tidak seperti pasangan suami isteri yang lain. Si suami menolak isteri yang
mengendong bayi tetapi saya menolak isteri yang sakit.
Tetapi saya sudah bersedia dengan kemungkinan kami tidak
mempunyai zuriat kerana menurut doktor kami tidak boleh mempunyai anak. Tetapi
saya sandarkan kepada Allah. Jika ada rezeki, adalah. Jika tidak sekalipun,
tidak mengapa.
Memasuki November 2016, keadaan arwah semakin teruk. Dia
tidak boleh berjalan (bedridden). Kebetulan ketika itu musim cuti persekolahan
dan saya boleh fokus untuk menjaganya sepenuh masa.
Saya pernah berkata kepadanya, “Mengapa cepat sangat
benda ini berlaku?” Jawabnya, “Tak apa, kita doakan yang terbaik. Have faith.”
Syukur juga kerana kami mempunyai keluarga yang benar-benar memahami dan
memberi sokongan.
Baik keluarga saya, keluarga mentua, ipar-duai semua
memainkan peranan dan membantu. Saya tinggal di rumah ibu mentua untuk menjaga
arwah isteri. Saya mengangkatnya, memandikannya, mencuci najis, menyalin lampin
dan sebagainya. Ia banyak mendidik saya untuk lebih mendalami sifat sabar.
Masa benar-benar menduga kalian bukan?
Ya dan kerana itu kami pastikan sentiasa berkomunikasi
antara satu sama lain. Selalu berkongsi rasa dan apa jua bersama lebih-lebih
lagi saat dirinya semakin sakit. Sebenarnya kelebihan adalah kami tahu bahawa
masa tidak berpihak kepada kami. Dan disebabkan itu saya berikan yang terbaik
untuk arwah kerana tidak mahu ada penyesalan kemudian hari.
Saya pernah bertanya kepadanya, “Jika awak dijemput
Allah, adakah awak akan pergi dengan rasa tenang dan gembira?” Jawabnya, “Ya,
sebab saya dikurniakan suami terbaik, saya dapat habiskan belajar, dapat
bekerja dan saya sudah peroleh semua yang saya inginkan.”
Momen terakhir yang diingati sebelum arwah menghembuskan
nafas terakhir?
Kira-kira dua hari sebelum arwah isteri ‘pergi’, dia
menunjukkan perubahan ketara. Banyak bercakap dan selera makannya berubah.
Semua yang mahu dimakan saya cari dan berikan kepadanya. Daripada keadaan
fizikal pula tidak nampak seperti orang sakit.
Saya meletakkan harapan tinggi bahawa dia akan kembali
pulih dan sihat sepenuhnya. Daripada kami boleh tidur bersama sehingga perlu
tidur berasingan disebabkan keadaannya yang sakit. Daripada boleh berpelukan
kemudian sehingga boleh berpegangan tangan.
Dijadikan cerita, pada malam 25 Disember 2016, dia teruja
dan begitu seronok lantas meminta agar saya tidur bersamanya. Ketika itu kami
tinggal di rumah kakaknya. Lazimnya dia akan tidur bersama kakak dan ibunya.
Tetapi berbeza dengan malam itu. Kami tidur sambil berpegangan tangan dan
keesokan harinya (26 Disember) adalah hari lahir saya. Dan tidak menyangka itu
adalah malam terakhir kami dapat tidur bersama.
Rupa-rupanya Allah memberi peluang terakhir buat saya
melalui momen itu. Apabila dia bangun pagi keesokan harinya, dia semakin sakit.
Mungkin kesan daripada kesakitan itu, dia terlupa hari lahir saya. Dan di awal
perkahwinan dahulu dia pernah memberitahu beberapa kesan sampingan yang akan
dirasainya misalnya lumpuh, terlupa dan sebagainya.
Sudah tentu saya menanti ucapan hari lahir daripadanya
kerana ramai ahli keluarga dan rakan-rakan mengucapkan selamat hari lahir juga
mengirimkan ucapan menerusi kiriman WhatsApp. Tetapi selepas saya beri ubat
kepadanya, dia masih mendiamkan diri.
Saya berkata padanya, “Hari ni hari jadi I,” dan dia
meminta maaf kerana terlupa disebabkan terlalu sakit dan berkali-kali dia
memberi ucapan kepada saya sehinggalah dia tertidur. Dan sebenarnya arwah
sudahpun menulis ucapan panjang lebar dalam diarinya sebelum dia benar-benar
sakit.Berbicara mengenai diari, terlalu banyak perihal saya yang ditulisnya.
Barang- barang, buku-buku dan pelbagai item semua tersimpan rapi.
Dahulu arwah pernah menyuarakan kebimbangan dan perasaan
takutnya untuk berdepan dengan kematian. Tetapi saya sering mengingatkannya
agar banyakkan berdoa. Juga saya mengingatkan arwah isteri agar membaca Surah
Al-Mulk kerana maklum tafsiran surah ini adalah peneman buat kita di alam
kubur.
Dan kala kami berbual santai, saya katakan padanya, “Kalau
I... Nak mati dalam tidur sebab I fikir dalam tidur mungkin tidak terasa
sakit,” dan arwah sekadar mengangguk. Detik cemas bermula sekitar jam tujuh
malam pada hari lahir saya, 26 Disember apabila keadaan arwah semakin tenat.
Nafasnya berbunyi akibat jangkitan kuman.
Saya menelefon ambulans dan dia dibawa ke Hospital
Kajang. Tiba di Unit Kecemasan, arwah isteri dipakaikan tiub oksigen dan masih
sedarkan diri. Hinggalah tengah malam, dia meminta ubat daripada ibunya.
Katanya mahu makan ubat sebelum tidur. Dalam keadaan sakit, dia tetap mahukan
ibunya. Dia menggenggam jari-jemari ibunya dan berkata jangan tinggalkannya.
Ibunya menemani di hospital ketika itu dan saya pula di
rumah kerana suami tidak dibenarkan bermalam di wad wanita. Awal pagi jururawat
melihatnya semakin senyap dan kebetulan arwah pergi dijemput Ilahi ketika tidur
sekitar jam tiga pagi. Segala urusan dipermudahkan kerana usai dia meninggal,
kami segerakan pengurusan jenazah.
Menjadi permintaan arwah juga jika dia meninggal dunia
agar segala urusan diselesaikan sesegera yang boleh. Solat jenazah dilakukan di
hospital dan disemadikan di Sungai Kantan, Kajang berhampiran kawasan rumah ibu
mentua.
Selepas pemergian isteri, bagaimana Kamal mengharungi
setiap perubahan yang berlaku?
Ada dua perkara yang perlu saya kendalikan. Pertama
adalah daripada segi emosi dan kedua adalah perhatian daripada orang ramai.
Sejujurnya selepas pemergian isteri, hidup saya berubah 360 darjah. Semua momen
yang kami lalui bersama pada saya terlalu privasi dan istimewa.
Malah saya tidak menyangka sama sekali ia akan menjadi
bahan atau tajuk utama portal, laporan berita, akhbar perkongsian di laman
sosial sehingga menjadi tular. Daripada perspektif lain saya memikirkan apa
yang perlu saya lakukan dengan perhatian daripada orang ramai. Selepas arwah
isteri meninggal, saya menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai.
Ada isteri yang baru kehilangan suami akibat kanser, ada
yang baru menghidap kanser meninggalkan mesej kepada saya bertanyakan bagaimana
perlu melalui semua ini dan apa yang harus dilakukan untuk meneruskan hidup,
memang banyak.
Secara peribadi, sukar untuk menghuraikannya malah tidak
bersedia untuk melaluinya apatah lagi menjangkakan perhatian yang diterima
daripada pelbagai pihak seperti yang berlaku hingga hari ini.
Rupa-rupanya ada yang menjadikan kisah kami sebagai
sumber inspirasi dan sebagainya. Sejujurnya saya masih memerlukan masa untuk
membiasakan diri dan menerima semua ini.
Apa yang Kamal boleh kongsikan mengenai istilah pengorbanan
yang dilalui sepanjang pemergian isteri?
Saya meletakkan taraf ibu pada tingkat tertinggi kerana
seorang ibu telah berkorban seumur hayatnya demi anak-anak. Maka dengan itu
saya hormati kedudukan seorang ibu di sisi anaknya. Biarpun isteri sakit, saya
tetap mendahulukan ibu mentua untuk mengendalikan apa yang perlu kerana pada
hemat saya ibu mentua lebih berhak.
Seperti arwah isteri, apabila sakit dia masih lagi
mahukan ibunya menemani. Dan itu sudah cukup menterjemahkan kasih sayang dan
pengorbanan seorang ibu. Bercakap mengenai ibu mentua, dia seorang yang cekal,
tabah dan positif.Dan arwah isteri mewarisi kekuatan semangat daripada ibunya.
Saya cukup beruntung dipertemukan dengan keluarga mentua. Banyak yang saya
pelajari daripada mereka.
Bila rindukan arwah isteri, apa yang Kamal lakukan?
Saya akan menangis dan perasaan rindu itu sentiasa ada.
Saya akan melihat semula koleksi peribadinya kerana sewaktu awal perkenalan
dahulu kami banyak mengutus surat.
Saya akan membaca diarinya, belek semula
gambar-gambarnya, wangian pertama yang dihadiahkan kepada saya, baju-baju dan
banyak lagi. Dan saya sering mengingatkan rakan-rakan agar cipta memori dengan
mengambil gambar insan yang kita sayangi.
Misalnya dengan bergambar, ia umpama memori kecil tetapi
nilanya amat bermakna untuk dikenang jika mereka pergi meninggalkan kita suatu
hari nanti. Kata orang kesibukan akan mengatasi kesedihan tetapi berbeza dengan
saya. Hari pertama saya kembali ke sekolah untuk mengajar, entah mengapa saya
terus menghantar mesej kepada arwah isteri menyatakan saya sudah sampai
sekolah.
Dan saya tidak menyedari tindak-tanduk ketika itu kerana
sudah terbiasa. Dan dalam waktu sibuklah lazimnya saya akan mengingatinya.
Misalnya, tiada lagi isteri yang akan mengingatkan saya agar makan, itu dan
ini.
Hikmah di sebalik apa yang terjadi?
Hingga kini saya masih mencari dan sebahagiannya ada yang
sudah dilihat dan saya rasai. Perkara ini masih baru pada saya. Biarpun setahun
tetapi sarat dengan pelbagai perasaan. Saya tidak mampu mengungkap dengan
kata-kata betapa bahagianya saya dalam tempoh singkat itu. Dan dalam tempoh itu
arwah isteri beri dan tinggalkan bekalan yang terbaik untuk saya kenang
sepanjang hayat.
Malah apabila saya dilanda masalah, saya tidak cepat
melatah dan berputus asa sebaliknya lebih positif. Hikmah lain termasuk saya
berpeluang menyebarkan kebaikan kerana ia adalah hasil perhatian orang ramai.
Daripada mula berkahwin kami sudah tular dan selepas
pemergian arwah isteri juga perhatian yang sama saya peroleh. Walaupun pada
mulanya saya terfikir, siapalah saya di mata masyarakat sehinggakan menerima
undangan ke sesi perkongsian itu dan ini untuk menceritakan segalanya.
Saya bersyukur kerana perhatian ini dan berharap agar
dapat berkongsi kebaikan dan memberikan inspirasi kepada semua. Hingga hari ini
saya masih mencari dan mengumpul kekuatan kerana sumbernya datang daripada
keluarga dan pendorong terbesar adalah diri sendiri.
Mungkin mudah orang mengatakan ‘be strong’ tetapi
hakikatnya saya tiada pilihan lain kecuali mencari kekuatan diri. Tetapi saya
lebih suka melihat setiap memori bersama arwah daripada sudut positif yang
membangkitkan semangat berbanding meratap sedih sepanjang masa.
Source (http://intrend.com.my/personaliti/temu-bual-eksklusif/kamal-effendi)